Setiap anggota yang dicipta Allah SWT untuk kita mempunyai keupayaan tersendiri yang boleh dimanfaatkan untuk hidup kita di dunia ini. Selain itu, anggota-anggota ini juga boleh di gunakan untuk melakukan, sama ada dengan cara langsung atau tidak langsung, perkara-perkara yang merupakan atau membawa kepada berlakunya pengabdian kepada Allah SWT. Dengan cara menggunakan anggota-anggota ini hanya di jalan yang diredaiNya, kita menzahirkan kesyukuran kita di atas kurniaanNya dan dengan kesyukuran, maka berkekalan dan bertambahlah nikmat.
Mata
Allah SWT telah menciptakan mata yang memberi kita keupayaan untuk melihat. Ia membantu kita dalam menjalankan hidup seharian di dunia ini dengan membolehkan kita berusaha mencari rezeki(*3), dan mengelakkan diri dari perkara-perkara yang boleh menyakitkan, seperti terjatuh atau berlaga sesama sendiri. Sebaliknya, mata juga membolehkan kita melihat langit, matahari, bulan, bintang DLL sebagai dalil (bukti) kewujudan Allah SWT, keesaannya, dan kekuasaannya, selain untuk melihat Al-Quran, jalan untuk pergi ke masjid dan tempat-tempat menuntut ilmu, yang semuanya membawa kebaikan di Akhirat.
Sebagai langkah menzahirkan kesyukuran di atas kurniaan mata, kita perlulah memelihara mata daripada melihat semua yang haram (yang ditegah), seperti melihat perempuan selain isteri kita yang sah, hamba sahaya kita, dan muhrim kita. Begitu juga, kita diharamkan melihat aurat orang lain walaupun sesama lelaki.(*4).
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Nota dari penterjemah:
*3 Apabila kegiatan mencari rezeki dibatasi kepada yang halal sahaja dan kemudiannya rezeki ini digunakan di atas jalan Allah SWT, ia juga menjadi ibadat yang membawa keuntungan di hari Akhirat.
*4 Ayat in di tujukan kepada kaum lelaki, dan ia hanya merupakan beberapa misalan daripada perkara yang ditegah. Perkara yang ditegah untuk lelaki biasanya juga ditegah untuk perempuan.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Dengan itu kita perlulah membiasakan diri dalam memelihara mata dengan menjauhkan –
diri dari memandang perkara-perkara yang ditegah. Firman Allah SWT di dalam Al-
Quran, Surah An-Nur ) النور ), Ayat 30:
قل للمؤمنين يغضوا من ابصارهم ويحفظوا فروجهم
ذلك ازكى لهم ان الله خبير بما يصنعون
Maksudnya:
Katakanlah (ya Rasulullah) kepada mereka yang beriman, bahawa hendaklah mereka memejamkan mata (supaya mereka tidak melihat perkara yang tidak harus mereka lihat), dan memelihara faraj (iaitu kemaluan) mereka (supaya mereka tidak melakukan apa yang haram dilakukan dengannya). Demikian itu lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui apa yang mereka lakukan (sama ada zahir atau pun batin dan setiap perbuatan akan menerima pembalasan daripada Allah SWT.).
Di dalam Ayat yang tersebut di atas, terdapat tiga unsur, iaitu unsur perintah untuk berkelakuan baik, unsur penerangan, dan unsur ugutan.
Dengan firmannya yang bermaksud “Katakanlah kepada mereka yang beriman, bahawa hendaklah mereka memejamkan mata dan memelihara faraj mereka.”, Allah SWT memerintahkan hambanya supaya berkelakuan baik dengan tidak memandang kepada perkara yang diharamkan untuk mereka, dan memelihara faraj mereka daripada digunakan dengan cara yang tidak halal (tidak dibenarkan). Di dalam hal ini, adalah wajib bagi seorang hamba mentaati perintah Tuhannya. Sekiranya ia ingkar, ia adalah seorang yang jahat dan patutlah ia dimurkai dan diseksa.
Seterusnya, melalui firmanNya yang bermaksud, “Demikian itu (memejamkan mata dan memelihara faraj) lebih baik bagi mereka.” Allah SWT menerangkan bahawa perbuatan sedemikian adalah keduanya perantaraan untuk membersihkan hati dari segala dosa dan membanyakkan kebajikan.
Unsur ugutan pula terkandung di dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui apa yang mereka lakukan.”. Setiap perbuatan diketahui Allah SWT dan akan menerima balasan yang setimpal daripadaNya. Perbuatan yang baik akan dibalas dengan pahala, kesenangan dan Syurga. Sebaliknya, perbuatan jahat akan dibalas dengan seksa dan Api Neraka.
Di dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman dalam Surah Ghafir (غافر), Ayat 19:
يعلم خائنة الاعين وما تخفي الصدور
Maksudnya:
Dia (Allah SWT) mengetahui pengkhianatan yang dilakukan setiap mata (iaitu mata mencuri-curi untuk memandang kepada apa yang diharamkan) dan apa yang tersembunyi di dalam hati ( sama ada cita-cita untuk mengerjakan kejahatan atau untuk kebaikan).
Di riwayat kan Al-Hakim daripada Huzaifah RA bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda seperti berikut:
ان النظر الى محاسن المرأة سهم مسموم من سهام ابليس
فمن تركها أذا قه الله تعالى طعم عبادة تسره
Maksudnya:
Sesungguhnya, memandang kecantikan tubuh wanita itu adalah seperti terkena anak panah terbisa di antara anak-anak panah Iblis (yang sangat membinasakan). Sesiapa yang tidak melakukannya (kerana takut akan Allah SWT), Allah SWT akan mengurniakan kemanisan beramal ibadah, yang akan menggembirakannya.
Diriwayatkan oleh Muslim dan Al-Baihaqi daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda seperti berikut:
لكل ابن ادم حظه من الزنا فالعينان تزنيان وزنا هما النظر
واليدان تزنيان وزنا هما البطش والرجلان تزنيان وزنا هما المشي
والفم يزنى وزناه التقبيل والقلب يهم ويصدق ذلك الفرج او يكذبه
Maksudnya:
Pada setiap anak Adam terdapat sebahagian dari zina; kedua matanya berzina apabila ia memandang (apa yang tidak harus dipandang), kedua tangannya berzina apabila ia memukul (apa yang dilarang memukulnya), kedua kakinya berzina apabila ia berjalan (menuju tempat yang haram didatangi), dan mulutnya berzina apabila ia mengucup (apa yang tidak halal dikucup). Hatinya berkehendak dan yang demikian itu dibenarkan oleh farajnya (lalu ia melakukan zina), atau pun kehendak itu ditentang (lantas dia terhalang dari melalukan zina).
Hadis ini antara lain menerangkan bahawa setiap perbuatan zina itu bermula dari kedua biji mata.
Secara keseluruhan, kita hendaklah menilai anggota tubuh kita dari sudut perbuatan yang sesuai untuknya dan kesudahan yang diinginkan untuknya. Kemudian hendaklah kita memelihara anggota-anggota kita dengan cara yang akan menjanjikan ia mampu mencapai kesudahan yang diinginkan. Semakin tinggi keinginan, semakin bersungguh-sungguhlah anggota itu perlu dipelihara. Kesudahan yang diinginkan untuk kaki misalnya, ialah ia akan berjalan di taman-taman Syurga dan di dalam mahligainya. Untuk tangan pula, kesudahan yang diinginkan ialah ia akan mencapai minuman dan memetik buah-buahan di Syurga. Begitulah juga anggota yang lain.
Kesudahan yang paling hebat yang boleh diimpikan untuk mata ialah ia akan melihat Zat Allah SWT di dalam Syurga. Tidak terdapat di dunia mahupun di Akhirat, suatu nikmat yang melebihi nikmat melihat Zat Allah SWT. Oleh yang demikian mata, yang diimpikan untuknya sebesar-besar nikmat, perlulah dipelihara dengan penuh azam, dan dimuliakan dengan setinggi-tinggi kemuliaan. Janganlah ia dikotorkan dengan memandang kepada perkara-perkara yang haram.