Monday 8 August 2011

Penawar Hati - Introduction

Appended below is the first instalment of the translation of the Kitab Penawar Bagi Hati, as yet unedited. 

Penawar Hati


Terjemahan Dari Karya Asal

Berjudul

Penawar Bagi Hati

Oleh

Ash-Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Muttalib Al-Indonesi









Pendahuluan



Ilmu Tasawuf  merupakan satu cabang ilmu yang mengkaji dan menerangkan perihal tindak-tanduk dan tingkah-laku hati, sama ada yang mulia dan terpuji seperti merendah diri dan bersabar, mahupun yang keji dan tercela seperti berdengki dan membesar diri. Ia menjurus kepada pengosongan hati daripada semua perkara selain Allah, dan menghias serta mengisinya hanya dengan ingatan kepada Allah SWT, tuhan seluruh alam.
Inti pati dan terasnya adalah hati manusia, dan ini dilambangkan melalui tindak-tanduk dan tingkah-lakunya. Adalah menjadi satu kewajipan, iaitu fardu ‘ain, ke atas semua yang berakal dan cukup umur untuk memahami perkara ini.

Ilmu Tasawuf ialah sesuatu yang berasaskan apa yang terkandung di dalam Al-Quran dan hadis Nabi SAW. Ia bertujuan membersihkan beberapa anggota zahir yang tertentu daripada semua bentuk perbuatan keji, sehingga akhirnya ia melahirkan hati yang bersih daripada semua sifat-sifat yang keji dan tercela. Anggota zahir yang dimaksudkan di sini merangkumi tujuh anggota, iaitu mata, telinga, lidah, perut, faraj, tangan dan kaki.(*1)

Kita hendaklah sentiasa sedar bahawa anggota badan kita adalah suatu nikmat dari Allah SWT yang sangat tinggi nilainya. Dengan itu, kita wajiblah bersyukur di atas kurniaanNya dan anggota-anggota ini wajib kita pelihara dengan baik(*2). Jika kita gagal memeliharanya dengan baik, semua anggota ini akan menjadi saksi yang mendakwa kita di hadapan Allah SWT di Hari Kiamat. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran , Surah Ya-Sin (يس), Ayat 65:

اليوم نختم على افواههم وتكلمنا ايديهم وتشهد ارجلهم
بما كانوا يكسبون
  
Maksudnya:

Di hari itu (Hari Kiamat), kami tutup mulut-mulut mereka (iaitu mereka terhalang daripada berkata-kata) dan tangan-tangan mereka serta kaki-kaki mereka akan berkata-kata kepada kami tantang apa yang telah mereka lakukan (semasa hidup di dunia).

------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Nota Dari Penterjemah:

*1 Anggota-anggota ini melambangkan daya untuk melakukan perbuatan. Mata misalnya melambangkan daya melihat, dan telinga pula melambangkan kuasa mendengar. Lidah melambangkan daya untuk berkata-kata dan ia merangkumi juga semua anggota lain yang digunakan untuk berkata-kata seperti mulut dan kotak suara. Begitu juga dengan perut yang antara lain melambangkan daya untuk makan dan minum merangkumi juga mulut, lidah, tekak, DLL,. Dalam kitab ini, perut sebensarnya merijuk kepada keseluruhan bahagian tubuh yang terletak di antara leher dan paha, iaitu bahagian yang di kenali sebagai ‘torso’ dalam bahasa Inggeris.

*2 Anggota-anggota perlu dipelihara supaya sentiasa berada dalam keadaan yang baik, tidak disia-siakan, serta tidak digunakan untuk tujuan yang tidak seharusnya.     
 -------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Setiap anggota akan berkata-kata dan menjadi saksi yang memperakukan semua perbuatan yang mereka sendiri telah lakukan. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran, Surah Fussilat (  فصلت), Ayat 22:

وما كنتم تستترون ان يشهد عليكم سمعكم ولا ابصاركم ولا جلودكم

Maksudnya:

Dan kamu tidak dapat bersembunyi (ketika melakukan kejahatan di dalam dunia), melainkan disaksikan oleh telinga mu, mata mu, dan kulit mu. 
  

Kita tidak akan dapat menyembunyikan perbuatan kita daripada disaksikan oleh anggota tubuh kita sendiri. Anggota tubuh kita sentiasa bersama kita di setiap masa dan di semua tempat. Apa yang mampu kita lakukan ialah meninggalkan semua bentuk kejahatan sama sekali.




Wallahu Wa’lam

No comments:

Post a Comment